"Dalam dua hingga tiga minit, siaplah masakan 'Tom Yam campur Pancawarna'. Sebelum dihidangkan, buat 'solekan (garnishing)' terlebih dahulu," pesan Siti sambil sebelah tangannya menggaul sup Tom Yam sementara sebelah tangan lagi meletakkan hiasan pada pinggan.
Aroma lazat yang mengisi ruang udara menusuk hidung sehingga berkeroncong perut kru dan sesiapa sahaja di dapur ketika itu yang teringin sekali mencuba masakan Siti.
Buah tangan Siti yang lain termasuklah 'Sup Cendawan Purnama Merindu', 'Ikan Bawal Cili Padi Kau Kekasihku', 'Ayam Tiram Serai Badarsila' dan 'Ikan Patin Tempoyak Ku Mahu'.
Ketika penggambaran masakan itu dilakukan, Siti berpakaian kurung berona biru, hijau dan kuning dengan bertudung longlai menutupi rambut hitam bersanggul kemas rapi.
Tidak keterlaluan dikatakan Siti adalah chef yang paling cantik di dapur. Bukan itu sahaja. Dia pandai berinteraksi dengan penonton.
Seperti kata Chef Zam yang memantau masakan Siti, "Siti menjadikan dapur umpama satu pentas persembahannya. Dia menghidangkan lagunya dalam bentuk masakan."
Mana tidaknya, nama 'Pancawarna' yang digunakan bersama Tom Yam itu sebenarnya adalah nama salah satu album Siti.
Menjadikan program masakannya lebih personal, Siti menyelitkan kisah hidupnya dalam membentangkan resipi masakannya.
Misalnya, semasa memperkenalkan hidangan pencuci mulut 'pulut durian seribu kemanisan', Siti mengisahkan suami tercintanya mampu memakan sebiji durian seorang diri.
"Keluarga saya suka sangat makan durian. Semasa makan durian, saya akan terkenang nostalgia masa kecil. Masa itu, rumah saya berdekatan dengan kebun durian.
"Apabila berpindah ke Kuala Lumpur, saya dah jarang makan durian sehinggalah berkahwin dengan Datuk Khalid.
"Bagaimanapun, saya perlu menghadkan pemakanan durian untuk menjaga suara," katanya secara spontan semasa mengimbau nostalgia lampau.
Perkongsian kisah hidup serta tip masakan menjadikan Siti 'diva' di pentas mahupun di dapur!
http://www.mstar.com.my/ ~ mStar Online~